Header Ads

Pendapat Lelaki India Ini Mengenai Perpaduan Ummah Ada Betulnya Juga


Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 landskap politik di negara menghadapi satu perubahan yang besar. Ini kerana, buat julung kalinya Barisan Nasional yang menjadi parti pemerintah selama lebih 60 tahun tumbang kepada Pakatan Harapan yang menawarkan manifesto lebih populis kepada rakyat.

Tak apalah, usah dikenang lagi mengenai kekalahan itu. Rakyat telah memilih dan membuat keputusan. Barisan Nasional pun dengan barisan kepimpinan baharu telah mengambil pengajaran dan ikhtibar dengan apa yang berlaku.



Sebab itulah, pelbagai perubahan telah dilakukan oleh Barisan Nasional secara politik. Parti yang dulunya menjadi pemerintah, kini dilihat semakin menyerlah mewakili rakyat sebagai pembangkang di peringkat Parlimen mahupun di Dewan Negeri.

Itulah komitmen Barisan Nasional kepada rakyat ketika ini. Kita mahu menjadi Pembangkang terbaik buat rakyat sesuai dengan aspirasi Barisan Nasional untuk mengamalkan politik khidmat bakti kepada rakyat.

Pun begitu, dalam kesibukkan membela rakyat sebagai pembangkang, Barisan Nasional tidak juga mengenepikan usaha untuk menjadi kekal relevan bagi memastikan rakyat kembali memilih kami sebagai parti pemerintah pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Antara tindakan pertama yang diambil adalah perpaduan sebuah parti paling besar di negara kita yang juga merupakan komponen utama dalam Barisan Nasional iaitu UMNO dan PAS (yang juga merupakan parti kedua terbesar di negara ini).

Kedua-dua parti yang mewakili Melayu ini, sebelum ini merupakan seteru yang hebat sejak sekian lama. Hari ini, segala perbezaan mereka ketepikan demi keutamaan rakyat. Dan perpaduan UMNO – Pas ini digelar sebagai Perpaduan Ummah.

Sejak itu, ramai yang tertanya-tanya terutamanya mereka yang bukan daripada kalangan Melayu khususnya masyrakat Cina dan India. Apakah Perpaduan Ummah ini akan mengenepikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia? Malah, ada di kalangan pemimpin Pakatan Harapan menjadikan usaha ini sebagai modal politik. Kononnya ia bersifat rasis. Ada juga yang nakal menggelarkan sahabat-sahabat saya di dalam UMNO dan Pas sebagai Taliban kerana usaha perpaduan ini.

Sebenarnya, kami di Barisan Nasional iaitu MIC dan MCA telah pun diberikan penerangan bahawa perpaduan ini tidak langsung hanya untuk masyarakat Melayu semata-mata. Tetapi ia lebih kepada itu. Sebagai sebuah masyarakat majoriti di negara ini, apabila Melayu bersatu hati, ia akan menjadikan Malaysia lebih aman dan makmur. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan memberi manfaat kepada kita sebagai masyarakat bukan Melayu.

Bila Malaysia makmur, pelabur akan lebih yakin untuk melabur di sini. Bila ramai pelabur masuk di negara ini, sudah pasti ia akan membawa lebih banyak peluang pekerjaan yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum.


Bagaimana pula jika adanya permasalahan sensitif melibatkan masyarakat Cina, India dan lain-lain kaum di negara ini? Adakah sekiranya menjadi Kerajaan nanti, Barisan Nasional menerusi Perpaduan Ummah dengan Pas, isu-isu ini dapat diselesaikan?

Jawapan saya kepada persoalan ini adalah sudah pasti boleh. Ini kerana, semasa menjadi Kerajaan selama lebih 60 tahun, Barisan Nasional telah berjaya menyelesaikan isu sensitif tanpa melibatkan sebarang ketegangan kaum melainkan sejarah hitam 13 Mei 1969 lalu. Itupun ia berlaku kerana provokasi pembangkang ketika itu.

Saya yakin, cara rundingan tertutup yang diamalkan Kerajaan Barisan Nasional bersama pemimpin parti komponen yang mewakili semua kaum di Malaysia akan mengekalkan kemakmuran di negara ini. Kita tidak akan benarkan rakyat membangkitkan isu-isu sensitif tanpa sebarang kawalan. Kerana kita percaya bahawa kebebasan bersuara itu ada hadnya.

Pas juga begitu. Selama lebih 29 tahun mereka menjadi parti pemerintah di Kelantan, tidak pernah langsung mereka mengenepikan masyarakat bukan Melayu di negeri serambi Mekah itu. Masyarakat kaum Buddha bebas mengamalkan agama mereka. Masyarakat Hindu juga serupa, hak mereka untuk beragama tidak pernah dihalang. Apatah lagi masyarakat Kristian, gereja-gereja di Kelantan tidak pernah pula kita dengar diarahkan untuk ditutup.

Beberapa sahabat saya daripada Pas yang kebanyakkan merupakan ilmuan Islam menerangkan kepada saya bahawa Ummah itu sebenarnya bukanlah bermaksud Umat Islam sahaja. Ummah itu di dalam Bahasa Arab sebenarnya adalah masyarakat. Ini bermakna apabila disebut mengenai Perpaduan Ummah, ia membawa maksud perpaduan masyarakat tidak kira kaum dan kepercayaan agama.

Malah, kata mereka, Islam mengajar mereka untuk sentiasa berlaku adil dan berbaik-baik dengan sahabat dari kaum dan agama lain. Maknanya, sama juga seperti agama lain. Tidak ada agama yang menganjurkan kepada keburukan. Yang tidak baik itu datangnya pada individu dan mereka tidak mewakili agama yang mereka anuti.


Dengan izin Tuhan, saya akan sentiasa mendokong kepimpinan Barisan Nasional hari ini bersama-sama dengan Pas untuk menjelajah ke seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat tidak kira kaum dan agama mengenai kesediaan kami untuk kembali memerintah pada Pilihan Raya Umum akan datang. Konsep Perpaduan Ummah ini akan kami jaja dan ceritakan kepada semua bahawa kami komited untuk pertahankan hak rakyat daripada pelbagai latarbelakang agama dan kaum.

Jadi, rakyat janganlah takut. Perpaduan UMNO dan Pas bukanlah seperti yang digambarkan. Dokongan Perpaduan Ummah ini sudah pasti akan berteraskan aspirasi Perlembagaan negara kita yang sentiasa adil dan saksama kepada semua kaum.

Malaysia ini negara majmuk. Sepatutnya apa sahaja inisiatif perpaduan melibatkan apa sahaja kaum di negara ini, disahut positif oleh semua. Saya yakin, konsep perpaduan UMNO dan Pas merupakan formula terbaik untuk Barisan Nasional kembali ke Putrajaya.

Jika UMNO dan Pas serta komponen Barisan Nasional mengenepikan hak masyarakat Cina dan India, saya sendiri akan menegurnya. Dan sebagai seorang masyarakat India dan Hindu, saya sendiri akan bangkit menentangnya. Tetapi, saya yakin itu tidak akan berlaku.

Kerana komitmen semua daripada kepimpinan hinggalah ke akar umbi di Barisan Nasional dan Pas, kami mahukan Malaysia yang terus kekal aman dan makmur. Kerana kami sayangkan rakyat berbilang kaum di negara ini. Dan kami akan pastikan konsep Bangsa Malaysia akan terus dapat dipertahankan.

S.DEVA
Ketua Penerangan MIC Johor

No comments