Header Ads

KPKT, & Bomba Lantik Empat Peguam Untuk Inkues Adib


Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan mengenai pelantikan empat peguam baru dari Jabatan Peguam Negara bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mereka adalah - Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin, hadir di hadapan koroner, Rofiah Mohamad yang menggantikan peguam Syazlin Mansor, yang sebelum ini menarik diri.



Mahkamah juga dimaklumkan Syazlin kini mewakili keluarga Muhammad Adib, bersama seorang lagi peguam, Yahya Othman.

Rofiah kemudian menetapkan pendengaran disambung pada 3 hingga 5 Julai ini bagi membolehkan saksi inkues ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberi semula keterangan.3

Beliau juga meminta pihak berkenaan supaya mengemukakan senarai pakar fizik yang berpotensi untuk membantu inkues pada 16 dan 17 Julai.

"Senarai itu boleh dikemukakan antara 3 Julai dan 5 Julai supaya saya boleh membuat keputusan (memanggil pakar fizik)," kata Rofiah.

Pegawai Pengendali nkues itu, DPP Faten Hadni Khairuddin kemudian mengalu-alukan penyertaan Syazlin memandangkan tidak ada bantahan terhadapnya bagi mewakili keluarga Adib.

"Permintaan AG kepada menteri adalah hanya untuk dia diundurkan dari mewakili kementerian dan Jabatan Bomba," kata Faten.

Ketika ditemui di luar, Faten berkata, ketika ini semua pihak perlu mencadangkan nama dan mahkamah akan memilih seorang saja pakar fizik untuk memberi keterangan.

Katanya, pakar fizik itu boleh terdiri daripada kakitangan kerajaan atau pihak swasta dengan syarat individu itu cukup baik untuk memberi penerangan.

“Boleh jadi, individu itu adalah ahli akademik atau dari universiti,” katanya.

Pakar fizik itu akan memberi keterangan bagi memperjelaskan mengenai teori daya hentaman berkaitan keterangan pakar patologi forensik, sebelum ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.

No comments