Header Ads

Polis Ditemui Mati Di Kuarters Dengan Kesan Tembakan Di Kepala


Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditemui mati dengan satu kesan tembakan di bahagian kepalanya di tepi kuaters di dalam Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain berkata, mayat mangsa yang berusia 29 tahun dan masih bujang itu dijumpai di belakang kuarters tersebut kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.

Jelasnya, siasatan awal terhadap mayat mendapati, kepalanya tembus dipercayai terkena satu tembakan daripada senjata miliknya.

“Mangsa dipercayai baru dua hari melapor diri di Balai Polis Pekan Baru dan sebelum ini bertugas sebagai pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah serta Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7).

“Setakat ini, kita sedang menyiasat beberapa perkara terutamanya kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Pekan Baru di sini sebentar tadi.

Menurut Razarudin, polis sedang menyiasat punca kejadian dan masih terlalu awal untuk mengatakan mangsa telah bunuh diri atau mati dibunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat. -

No comments